Isnin, 2 Februari 2015

Gambar: Taman Bunga Shibazakura

Taman bunga di Pulau Hokkaido merupakan tempat tarikan pelancong yang sukakan bunga-bungaan. Taman ini mempunyai lebih daripada sejuta bunga mekar meliputi kawasan berbukit seluas 100,000 meter persegi menghadap ke bandar Tokinue.
Terdapat banyak destinasi pelancongan di Pulau Hokkaido, namun taman-taman bunga merupakan tempat yang berwarna-warni. Saban tahun bermula awal bulan Mei sehingga ke pertengahan bulan Jun, bukit-bukau dihampari dengan bunga-bunga merah jambu "Moss Phlox" atau nama tempatan "shibazakura" (芝桜).
Laluan yang berliku-liku menanti para pelancong untuk ke puncak bukit di mana mereka bakal disajikan dengan pemandangan indah lautan bunga-bunga. Taman Higashimokoto dibina pada tahun 1956 bermula dengan sekotak benih, namun sejak dari itu banyak pokok-pokok mulai disemai saban tahun. Pada musim ini, para pengunjung dapat menghirup udara segar dengan aroma bunga-bungaan mekar.
Disamping itu juga, penduduk tempatan mengadakan upacara perayaan tahunan bagi merayakan musim bunga ini dengan mengadakan pelbagai acara bertemakan musim bunga shibazakura.






©2015, copyright Nur Ellena

Rabu, 31 Disember 2014

Peristiwa: Malaysiaku 2014

Tahun ini merupakan tahun yang amat sukar khususnya buat rakyat Malaysia. Tahun ini juga negara kita digemparkan dengan pelbagai kejadian dan ancaman. Namun, saya yakin bahawa Allah S.W.T. tidak sekali-kali memberikan ujian kepada umat-Nya jika mereka tidak dapat menanggungnya.

Tahun 2014 sepatutnya adalah tahun gemilang buat Malaysia, ini kerana tahun 2014 ini telah diisytiharkan oleh kerajaan sebagai Tahun Melawat Malaysia.

Namun segalanya punah apabila berlakunya misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China. Kehilangan pesawat yang membawa 227 orang penumpang ini yang majoriti rakyat negara China pada 8 Mac 2014 telah memberikan impak besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Sentimen kebencian terhadap Malaysia juga terbentuk akibat hasutan oleh pihak-pihak tertentu samada di Malaysia ataupun di China. Sehingga kini kehilangan pesawat MH370 ini kekal misteri walaupun pelbagai usaha telah digerakkan untuk mencarinya.

Pada 16 Julai 2014, Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan peristiwa besar dimana perintah berkurung telah diisytiharkan di Pantai Timur Sabah berikutan pelbagai kes perculikan dan tembak menembak yang berlaku di perairan di sana. Kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu Sabah yang mengorbankan banyak nyawa masih menjadi igauan dan detik hitam dalam sejarah negara.

Sekali lagi syarikat Penerbangan Malaysia menerima impak ekoran serangan pengganas terhadap pesawat Malaysia Airlines MH17 yang telah ditembak jatuh ketika terbang diruang udara Ukraine. Pesawat malang ini yang membawa 283 orang penumpang dan 15 orang anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 diberitakan telah ditembak jatuh dan terhempas di Donetsk Oblast, Ukraine yang bersempadan dengan Rusia. Kesemua penumpang dan anak kapal maut dalam kejadian tersebut dan sehingga kini tidak pihak yang mengaku bertanggungjawab keatas kejadian malang ini.

Dipenghujung tahun 2014, Semenanjung Pantai Timur Malaysia terutamanya di negeri Kelantan menerima kesan banjir besar yang amat luar biasa. Banjir besar ini melumpuhkan serta-merta kehidupan rakyat Kelantan yang terjejas akibat kesan banjir. Banjir besar yang dikatakan berlaku setiap 10 tahun sekali ini merupakan banjir yang terburuk dalam sejarah negara dimana lebih 142,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan melibatkan 317 pusat pemindahan. Statistik banjir di Kelantan setakat 29 Disember 2014, didapati 9 maut dan 4 mangsa banjir hilang dalam kejadian banjir ini. Segala maklumat boleh layari laman sesawang Portal Bencana.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia juga menerima impak yang sama seperti Penerbangan Malaysia. Pada akhir tahun 2014 ini, kita dikejutkan dengan kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 orang penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura. Pesawat jenis Airbus A320-200 ini dilaporkan terputus hubungan dari menara kawalan pada kejadian 28 Disember 2014. Usaha pencarian segera dikerah oleh kerajaan Indonesia sebaik sahaja ia berlaku dan turut mendapat bantuan dari negara Malaysia dan Singapura. Walaupun AirAsia Indonesia bukan dimiliki oleh AirAsia Berhad kerana pegangan saham dalam AirAsia Indonesia majoriti 51% milik PT Indonesia Airasia dan selebihnya milik AirAsia Berhad, namun segala impak juga terkesan terhadap rakyat Malaysia. Ini kerana syarikat penerbangan AirAsia ini diasaskan dan dikembangkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Pada 30 Disember 2014, pasukan Badan SAR Nasional (BASARNAS) mengesan beberapa objek terapung dipermukaan laut di Laut Jawa 10 kilometer dari titik akhir lokasi pesawat dikesan radar dan seterusnya penemuan beberapa jasad mayat yang dipercayai mayat penumpang.

©2014, copyright Nur Ellena

Isnin, 24 November 2014

Info: Kisah Rasulullah Mengenai Roh Jenazah

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, katanya; "Aku sedang dalam keadaan duduk bersila di rumah, tiba-tiba Rasulullah SAW datang dan masuk ke rumah sambil memberi salam kepadaku. Aku segera berdiri kerana menghormatinya dan memuliakannya, sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Nabi SAW bersabda: "Duduklah di tempat dudukmu, wahai Ummul Mukminin."

Aisyah berkata; "Rasulullah duduk sambil meletakkan kepalanya dipangkuanku, lalu baginda tidur berbaring. Maka aku bilangkan uban pada janggutnya dan aku dapati ada 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata; "Sesungguhnya beliau akan keluar dari dunia sebelumku sehingga tetaplah suatu umat yang ditinggalkan Nabinya. Aku menangis hingga mengalirlah cucuran air mata pada pipiku. Air mataku itu menitis pada muka baginda. Kemudian baginda terbangun dari tidurnya."

Rasulullah bertanya; "Gerangan apakah yang engkau tangisi wahai Ummul Mukminin?" Maka aku ceritakan kisah tadi kepadanya. Rasulullah berkata; "Keadaan manakah yang lebih hebat bagi mayat?" Aisyah menjawab; "Tunjukkanlah wahai Rasulullah!" Rasulullah mengatakan; "Bahkan, engkaulah yang mengatakan." Aisyah berkata; "Tidak ada keadaan yang lebih hebat bagi mayat daripada waktu keluarnya mayat dari rumahnya di mana anak-anaknya semuanya bersedih hati di belakangnya, mereka semua berkata; "Aduh ayah, aduh ibu!" Ayahnya mengatakan; "Aduh anak!"

Rasulullah berkata; "Itu juga termasuk hebat, maka manakah yang lebih hebat daripada itu?" Kemudian Aisyah r.a menjawab; "Tidak ada hal yang lebih hebat bagi mayat ketika ia diletakkan di liang lahad dan ditimbuni dengan dengan tanah di atasnya. Kaum kerabatnya semuanya kembali, begitu juga anak-anak dan para kekasihnya. Mereka semua menyerahkannya kepada ALLAH bersama segala amal perbuatannya. Lalu setelah itu datanglah malaikat Mungkar dan Nakir ke dalam kuburnya."

Rasulullah SAW bertanya lagi; "Adakah yang lebih hebat lagi dari itu?" Aisyah berkata: "ALLAH dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Kemudian Rasulullah SAW bersabda; "Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat adalah ketika orang yang memandikannya masuk ke rumah untuk memandikannya."

Ketika mana mayat diletakkan di tempat pemandiannya, ketika itu dikeluarkan cincin dan perhiasan yang ada pada jari jemarinya, dilepaskan pakaian yang membaluti tubuh badannya. Bagi para alim ulama dilepaskan serban dari kepalanya. Pada waktu itu rohnya berkata-kata tatkala ia melihat mayatnya dalam keadaan telanjang dengan suara yang didengar oleh sekalian makhluk kecuali jin dan manusia.

Roh itu berkata: "Wahai orang yang memandikan, ku minta kepadamu kerana ALLAH, untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan. Sebab di saat ini aku beristirehat dari seretan malaikul maut."

Ketika disiramkan air ke atas tubuhnya, roh itu berteriak lagi; "Wahai orang yang memandikan roh ALLAH, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Janganlah engkau menuangkan airmu dengan panas dan jangan pula dingin. Sebab tubuhku terbakar dari keluarnya roh."

Ketika dimandikan oleh pemandi mayat, maka roh itu berteriak sekali lagi; "Demi ALLAH, wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka kerana keluarnya roh."

Jika telah selesai dimandikan dan mayat itu diletakkan pada kafannya di mana kedua tangannya diikat, maka mayat memanggil-manggil; "Wahai orang yang memandikan, janganlah kuat-kuat dalam mengkafaniku, sehingga aku tidak dapat melihat wajahku, anak-anakku dan kerabatku, sebab ini merupakan hari terakhir aku melihat mereka. Pada hari ini aku akan berpisah dengan mereka, dan aku tidak akan melihat mereka sehingga hari qiamat."

Ketika mayat dibawa keluar dari rumahnya, maka rohnya menyeru; "Demi ALLAH, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah kamu menyakiti meraka. Sesungguhnya pada hari ini aku dikeluarkan dari rumahku dan aku tidak akan kembali kepada mereka selama-lamanya."

Ketika mayat diletakkan ke dalam peti atau kerandanya, ia memanggil lagi; "Demi ALLAH, wahai jemaahku, janganlah kalian mempercepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahli keluargaku, anak-anakku dan para kerabatku. Sesungguhnya aku pada hari ini akan berpisah dengan mereka sehingga hari qiamat."

Kemudian ketika para pengiring jenazah, melangkah dengan tiga kali langkah, ia memanggil lagi dengan suara yang dapat didengari seluruh makhluk kecuali jin dan manusia.

Kata roh; "Wahai para kekasihku, wahai saudara-saudaraku dan wahai para anak-anakku, janganlah kalian diperdayakan oleh dunia sebagaimana ia memperdayakan aku. Janganlah kalian bermain-main di masa ini sebagaimana ia mempermainkan aku. Hendaklah kalian mengambil ibarat daripadaku. Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku kumpulkan untuk para ahli warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku. Adapun di dunia ini ALLAH akan menghisab aku, sementara kamu sekalian merasa senang dengan keduniaan dan tidak mahu mendoakan aku."

Ketika jenazah itu telah disembahyangkan oleh ahli keluarga dan mereka yang hadir itu, roh itu berkata; "Demi ALLAH, wahai saudaraku, sesungguhnya aku lebih mengetahui bahawasanya mayat itu lupa ketika hidupnya. Akan tetapi kalian jangan melupakan aku dengan begitu cepat sekali sebelum kalian mengebumikan aku, sehingga kalian menyaksikan tempatku. Wahai saudara-saudaraku, sesungguhnya keadaanku lebih mengetahui bahawasanya wajah mayat itu lebih dingin daripada air yang dingin. Janganlah kalian pulang dalam masa terdekat ini."

Ketika pengiring-pengiring jenazah meletakkan mayat di sisi kuburnya, maka berkatalah ia; "Demi ALLAH, wahai jemaahku, wahai saudara-saudaraku. Aku mendoakan kalian tetapi kalian tidak mendoakan aku."

Ketika diletakkan mayat di dalam liang kuburnya, mayat itu berkata; "Demi ALLAH, wahai para warisku, bukankah aku mengumpulkan harta yang banyak yang ku tinggalkan untuk kalian? Hendaknya kalian mengingatiku dengan memperbanyakkan kebaikan. Aku telah mengajar kalian Al-Quran dan adab kesopanan, janganlah kalian melupakan aku dalam doa kalian."

Sumber: E-Pusara

©2014, copyright Nur Ellena