Jagalah Hati Suamimu
Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari isnin, Khamis dan Jumaat.
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar ke atas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.”
Wahai Suami, Dengarlah Luahan Hati Isterimu..
Ingatlah para suami bahawa…
Isteri dan anak-anak itu adalah amanah ALLAH kepada kamu…jadi Sayangi mereka sentiasa kerana kasih sayang yang abadi menjamin kebahagiaan...
1. Selalulah menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa membantu suami.
2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih daripada emak anda.
4. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih daripada suami juga. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing-berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
5. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relak-relak sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dan sebagainya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumah tangga sedangkan suami lepas tangan.
6. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Jangan bedal semua, sampai giliran isteri yang tinggal ekor ikan sekerat, janggut sotong, ekor tauge. Frust, tau tak!
7. Kalau nak ajak member ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari-dua lebih awal.Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi segera saja (bukan soal malas masak tapi nak tolong jimatkan perbelanjaan keluarga)
8. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
9. Jangan kentut depan isteri. Hairan ya, masa bercinta dulu kenapa boleh kontrol kentut?
10. Hormatilah ibu-bapa dan ahli keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang bodek mereka masa nak ngurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
11. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumah tangga. Sekali atau berkali-kali kala tolonglah membeli minyak masak, bawang, lada, sayur dan sebagainya.
12. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Jangan berkata yang tidak sedap di dengar seperti 'si tua','si gemuk''si anu'.Panggil nama manja & berkata kata manja seperti semasa berkasih di bawah lampu minyak tanah.
13. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Bersihkan diri selalu. Jaga kebersihan. Susah sangat ke?
14. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
15. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Mereka pun manusia. Allahberikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
16. Jangan main kayu tiga. Main lain lagi tak boleh. Fikirkan jika isteri anda yang buat, tentu anda tak boleh nak bertolak ansur. Jadi mengapa isteri anda kena bertolak ansur kalau anda buat?
17. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuk-lah anda mengambil berat tentang dirinya.
18. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali.
19. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak Jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbang rasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
20. Jangan buat tak tahu kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu pujuk, pujuk. Hati orang perempuan ni sensitif. Kalau isteri rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.
Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja. !WAALLAHUALAM.. :)
©2013, copyright Nur Ellena
Tiada ulasan:
Catat Ulasan